Sunday, 15 June 2014

TIADA PENDAKWAAN ; Gani terus pertahankan Kristian.

Tan Sri Abdul Gani Patail masih berpegang kepada kenyataan sebelum ini tiada pendakwaan yang akan dilakukan kepada Persatuan Bible Malaysia (PBM) selepas Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) merampas Bible bahasa Melayu dan Iban dari premis persatuan itu, Januari lalu.
Peguam negara berkata, tiada huraian lanjut perlu diberikan kerana kenyataannya pada Rabu jelas menerangkan segala-galanya.
“Saya sudah membuat kenyataan sebelum ini. Saya tidak berhasrat untuk mengulas lanjut.
“Saya berpegang kepada pandangan saya,” katanya kepada akhbar milik Umno Utusan Malaysia edisi Ahad, Mingguan Malaysia.
Semalam, Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dalam kenyataannya, dilaporkan tidak bersetuju dengan keputusan Pejabat Peguam Negara untuk menutup kes itu dan mendakwa kerajaan negeri Selangor tiada kuasa mengarahkan Jais memulangkan Bible berkenaan.
Katanya, 321 Bible yang dirampas dari premis PBM di Damansara Kim pada Januari lalu tidak akan dipulangkan dan mahu tindakan diambil kepada persatuan itu kerana mengedarkan Bible berbahasa Melayu dan Iban.
Pengerusi Mais, Datuk Adzib Mohd Isa berkata beliau percaya ia merupakan kes mengikut enakmen agama bukan Islam.
"Alasan yang diberikan oleh peguam negara untuk tidak menuduh pihak yang terlibat boleh mengelirukan akidah di kalangan umat Islam.
"Keputusan peguam negara untuk tidak mendakwa mereka yang terlibat akan menyebabkan kekeliruan di kalangan umat Islam," katanya.
Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan menemui pihak berkepentingan berhubung kenyataan yang dikeluarkan Adzib berkenaan isu rampasan Bible berbahasa Melayu dan Iban milik PBM.
Selain Mais, antara pihak lain yang akan dipanggil dalam pertemuan dijadualkan pada minggu hadapan itu termasuklah Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid; Exco Agama, Sallehin Mukhyi; Penasihat Undang-undang Negeri, Datuk Nik Suhaimi Nik Sulaiman dan wakil Jais.
"Kerajaan negeri akan cuba mendapatkan persetujuan bersama sebelum mengadap Sultan Selangor untuk kata putus," kata Khalid dalam kenyataan itu, tanpa menyatakan tarikh sebenar perjumpaan tersebut. – 15 Jun, 2014.
-insider-

No comments:

Post a Comment