Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) akan membuat laporan polis secara serentak di seluruh negara hari ini untuk terus mendesak supaya semua aktiviti yang melibatkan Pejabat Peguam Negara dibekukan.
Ini berikutan dakwaan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengatakan terdapat dua agen perisik agensi CIA yang bekerja di pejabat itu.
SAMM turut mengatakan yang negara mungkin telah dipengaruhi oleh agenda jahat Amerika Syarikat secara terus.
“Berdasarkan tuduhan Tun Mahathir yang dinyatakan dalam akuan bersumpah Datuk Mat Zain Ibrahim (bekas pegawai kanan Polis), negara mungkin telah dipengaruhi oleh agenda jahat Amerika Syarikat secara terus melalui Pejabat Peguam Negara,”
“SAMM juga tidak menolak kemungkinan antara kecelaruan dan musibah yang berlaku termasuk melibatkan pemalsuan bukti dalam kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim dan aktiviti pengintipan ini juga mampu menyebabkan kekalahan Pulau Batu Puteh di Mahkamah Antarabangsa.
Pulau Batu Puteh juga tidak wajar terlepas namun apakah mungkin ianya diatur demi kedudukan strategik Singapura yang menjadi sekutu rapat Amerika Syarikat,” kata Pengarah Propaganda SAMM Edy Noor Reduan melalui satu siaran media.
Selain itu, SAMM turut mendesak supaya Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail diberkas untuk disoal-siasat dan Mahathir sendiri tampil memberi penjelasan.
“Laporan polis akan mula dibuat oleh SAMM di Pulau Pinang jam 11.00 pagi di Balai Polis Bayan Baru, diikuti oleh SAMM dari negeri lain termasuk dari Sabah dan Sarawak.
“SAMM juga menyeru orang ramai dan aktivis sekutu turut membuat laporan polis di atas kecelaruan yang dibiarkan ini,” tambahnya lagi.
Ujarnya lagi, akan menyeru semua aktivis, pengamal kepartian dan orang ramai untuk berkumpul beramai-ramai di hadapan Ibu Pejabat Daerah Dang Wangi untuk memberi tekanan yang lebih serius pada 24 November ini jika tiada sebarang tindakan diambil oleh pihak polis. -FMT

No comments:
Post a Comment