Meskipun sudah banyak orang bercakap mengenai isu dakwaan salah laku
Peguam Negara, Gani Patail dan adanya pengintip CIA diambil bekerja
dengannya, tetapi sehingga ini semuanya masih lagi kelabu. Najib yang
sepatutnya bersuara menjelaskan keadaan itu, masih lagi berdiam diri.
Gani Patail yang dituduh pula hilang entah ke mana, juga membisukan diri
dan mungkin sedang menenangkan jiwa ke luar negara.
Pihak polis yang menurut peguam terkenal, Karpal Singh, boleh
menjalankan siasatan berikutan isu yang diperkatakan sudah menjadi
perbualan umum serta ada kepentingan umum didalamnya, walaupun bersuara
tetapi mengelak untuk menjalankan siasatan terhadap Gani Patail dan
Jabatan Peguam Negara.
Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar sebaliknya berkata, isu yang
melibatkan Jabatan Peguam Negara ini dibawah bidang kuasa SPRM untuk
menjalankan siasatan.
Malangnya SPRM juga jadi bisu dan hilang suara? Siapa sebenarnya yang
patut mengambil tanggungjawab ini? Menjalankan siasatan sebenarnya bukan
bermaksud Gani Patail bersalah, ia boleh juga bertujuan untuk
membersihkan namanya. Tetapi jika siasatan tidak dijalankan, semua pihak
berdiam diri dan mengelak untuk bertindak, di mata umum Gani sudah pun
kelihatan bersalah.
Untuk itu, siasatan harus dan mesti dilakukan.
Semalam Solidariti Anak Muda Malaysia atau SAMM telah pun mengambil
tanggungjawab membuat tidak kurang daripada 10 laporan polis di seluruh
negara mendesak siasatan dilakukan keatas Peguam Negara, Gani Patail
yang dikaitkan dengan agen perisik CIA, berdasarkan pengakuan Tun
Mahathir dalam satu akuan bersumpah yang dilakukan oleh bekas pegawai
kanan polis, Mat Zain Ibrahim.
Dalam laporannnya, SAMM juga berkata, "Pihak polis tidak boleh lepas
tangan begitu sahaja dengan menyerahkan perkara ini kepada pihak lain.
Ini isu serius dan harus diambil tindakan. Dunia sedang mentertawakan
dan hilang hormat terhadap sistem perundangan negara. Pelabur akan lari,
rakyat akan hilang kepercayaan terhadap sistem perundangan dan ini
amat bahaya untuk negara.
"Peguam Negara harus diambil keterangan dan digantung tugas. Tun
Mahathir juga harus ditampilkan bagi dirakam kenyataannya segera,
termasuk semua yang terlibat yang dinamakan dalam akuan bersumpah
tersebut. Isu ini adalah serius, lebih-lebih lagi selepas pendedahan
bagaimana Amerika Syarikat menggunakan kedutaan asing di Malaysia
sebagai pusat aktiviti operasi risikan mereka".
Apa yang negara mahukan ialah keadilan dan sistem yang bersih. Dengan
adanya laporan polis oleh SAMM ini, tiada lagi pihak boleh berdalih
untuk tidak menjalankan siasatan. Alasan klise yang selalu digunakan
bahawa siasatan tidak boleh dijalankan kerana tiada laporan polis, kini
sudah tidak terpakai lagi.
Dan kalau pula Najib sebagai Perdana Menteri tiada apa-apa kepentingan
dengan Gani Patail dan tidak ada sebesar hama pun niat mahu melindungi
Peguam Negara paling kontroversi dalam sejarah Malaysia ini, beliau juga
seharusnya bersuara untuk membenarkan siasatan dijalankan. Mungkin
selama ini pihak polis dan SPRM tidak berani memulakan siasatan kerana
tiada petunjuk daripada Najib mengenainya.
Dalam banyak isu lain, Najib selalunya pasti akan bersuara. Malahan
dalam isu Altantuya yang dikaitkan dengan dirinya pun, Najib tidak
mengelak untuk bersuara tetapi dalam kes Gani ini, belum kedengaran lagi
suara Najib mengenainya walaupun semua telah mengetahui dibawah
kendaliannya, negara bukan saja hilang Pulau Batu Puteh yang bernilai
tinggi dan strategik tetapi juga dengan tidak mengemukakan rayuan dalam
kes Ling Liong Sik dan PKFZ bakal menyebabkan ribuan juta wang rakyat
jadi lesap entah ke mana.
Jika semua pihak terus membisu dan tiada siasatan dijalankan, maka
hampir benarlah pertanyaan Mat Zain Ibrahim, bekas pegawai kanan polis
yang sudah banyak kali membuat surat terbuka mengenai salah laku Peguam
Negara, " Apa yang kebalnya Gani Patail sedangkan Ketua Hakim Negara,
Salleh Abbas dan menteri kabinet, Mokhtar Hashim pun pernah disiasat dan
dibicarakan?
Sekarang menjadi tanggungjawab Najib dan kerajaan menepis persepsi kekebalan Gani Patail ini.
No comments:
Post a Comment