
Jika tidak faham, jangan persoal kewibawaan Majlis Agama Islam Selangor (JAIS).Demikian ditegaskan Pengerusinya Datuk Setia Mohamad Adzib Mohd Isa terhadap pihak tertentu yang mengkritik dan menuduh MAIS ada agenda tertentu disebalik tentangan terhadap arahan Peguam Negara agar memulangkan bible milik Persatuan Bible Malaysia (PBM) yang dirampas Januari lalu.
Katanya ahli-ahli MAIS yang membuat keputusan menolak arahan Tan Sri Abdul Gani Patail terdiri daripada mereka yang mencakupi pelbagai bidang.
“Antaranya mereka ahli atau pakar Syarie, Fiqah, hukum, undang-undang serta pentadbiran,” jelas beliau ketika dihubungi Ahad.
Beliau berkata, MAIS membuat keputusan berdasarkan pendapat ahli-ahli majlis termasuk Exco agama Salehen Mukhyi dan Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Nik Suhaimi Nik Sulaiman.
Mohamad Adzib menyatakan kehairanan kenapa Exco berkenaan dan penasihat undang-undang tidak menyuarakan pendapat ketika mesyuarat Exco memutuskan supaya Bible yang dirampas itu dipulangkan kepada PBM.
Mengulas lebih lanjut, katanya MAIS sedia kes itu dirujuk ke mahkamah untruk memutuskan tindakan sepatutnya.
Mengenai pertemuan yang dirancang Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim bagi menyelesaikan isu berkenaan, Mohamad Adzib berkata, MAIS akan menghantar wakil pada mesyuarat tersebut.
Katanya, adalah perkara biasa jika ada yang berbeza pandangan dalam sesuatu isu.
“Sekiranya, keputusan mesyuarat tersebut berbeza dengan pendirian MAIS, majlis akan membuat keputusannya nanti,” jelasnya.
Keengganan MAIS menurut arahan Peguam Negara yang mahu Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menutup kes berkenaan, dikecam pemimpin-pemimpin pakatan rakyat di negeri itu termasuk DAP.
Ahli Parlimen PAS Shah Alam Khalid Samad, berkata tindakan MAIS membantah arahan Pejabat Peguam Negara itu umpama mempunyai agenda tersembunyi.
“Kita khuatir sikap umpama ini seperti tidak mengiktiraf pandangan rasmi kerajaan pilihan rakyat.
“Tindakan seperti ini umpama memisahkan Sultan Selangor daripada rakyat,” katanya dipetik sebuah portal pembangkang.
Ahli Parlimen Klang daripada DAP, Charles Santiago mempersoalkan “siapa di belakang MAIS” sehingga berani membantah arahan peguam negara.
Katanya, tindakan MAIS itu tidak menghormati institusi perundangan dan pihak eksekutif yang diterajui kerajaan PR Selangor.
“Jelas MAIS tidak hormat peguam negara, siapa yang sokong MAIS dari belakang?
“Ramai orang yang marah dengan tindakan MAIS, tetapi jika MAIS ingin mensabotaj, mungkin mereka ada agenda lain,” katanya.
Semalam, MAIS dalam kenyataannya berkata 321 Bible yang dirampas daripada PBM di Damansara Kim pada Januari lalu tidak akan dipulangkan dan mahu tindakan diambil kepada PBM kerana mengedarkan Bible berbahasa Melayu dan Iban.-15/6/2014 -agendadaily-
No comments:
Post a Comment