Sunday, 15 June 2014

ISU BIBLE : Akibat Gani Buang Kes. MB Kena Mengadap Sultan.

alt

SHAH ALAM, 15 Jun - Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan mengadakan perjumpaan dengan pegawai-pegawai berkaitan minggu depan bagi membincangkan keputusan Peguam Negara menutup kes rampasan kitab Bible.

Difahamkan kerajaan negeri akan cuba mendapatkan persetujuan bersama sebelum mengadap Sultan Selangor untuk kata putus terhadap isu tersebut.

Perjumpaan itu adalah susulan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menyatakan tidak berpuashati dengan keputusan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail itu.

Pengerusi MAIS, Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa, Sabtu mengeluarkan kenyataan tidak bersetuju dengan keputusan Peguam Negara untuk tidak meneruskan pendakwaan terhadap Persatuan Bible Malaysia.

Sekretariat Akhbar Pejabat Menteri Besar Selangor di Shah Alam, dalam kenyataannya berkata Menteri Besar akan berjumpa dengan Mufti Negeri Datuk Seri Mohd Tamyes Abd. Wahid; anggota Exco Agama Salehen Mukhyi; penasihat undang-undang negeri Datuk Nik Suhaimi Nik Sulaiman; wakil-wakil MAIS dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Menurut sekretariat itu Menteri Besar telah meminta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamed Khusrin Munawi memanggil satu mesyuarat bersama.

"Kerajaan negeri akan cuba mendapatkan persetujuan bersama sebelum mengadap Sultan Selangor untuk kata putus," menurut kenyataan itu.

Mohamad Adzib dalam kenyataannya berkata MAIS yakin wujudnya undang-undang dalam Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988, untuk satu pendakwaan dibuat.

Rabu lepas, Pejabat Peguam Negara memaklumkan tidak ada sebarang pendakwaan dibuat berhubung kes rampasan Bible tersebut, sekali gus menutup kes berkenaan.

Abdul Gani dalam satu kenyataan berkata naskah yang dirampas itu bukan merupakan tulisan yang diterbitkan di bawah Seksyen 9(1)(a) Enakmen Bukan Islam (Kawalan dan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988.

Susulan itu, Abdul Khalid mengarahkan JAIS memulangkan semua kitab tersebut kepada Persatuan Bible Malaysia (BSM).

Pada 2 Jan lepas, JAIS menyerbu pejabat BSM di Damansara Kim, Petaling Jaya dan merampas 300 kitab Bible berbahasa Melayu sebagai usaha membanteras penggunaan kalimah Allah dalam kitab itu yang didakwa melanggar Enakmen 1988.

Sementara itu, setiausaha agung DAP Lim Guan Eng meminta campur tangan Abdul Khalid memandangkan MAIS and JAIS enggan memulangkan kitab berkenaan.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menghadiri permukiman pemimpin kebangsaan DAP di Kuala Lumpur.

No comments:

Post a Comment